SAUDARA PENGARANG,
DEWAN Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) baru-baru ini menyertai program perbincangan bersama-sama Dewan Pemuda Pas, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Majlis bagi membincangkan hala tuju blok Pemuda pembangkang itu disertai oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda Berjasa, Iqbal Hakim Abdul Razak.
Program tersebut sebenarnya menyampaikan mesej jelas kepada seluruh rakyat dan kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Mesej berkenaan adalah blok Pemuda pembangkang bertekad sebulat suara untuk bersatu padu demi membawa aspirasi rakyat, terutama anak-anak muda yang tertipu dengan janji-janji manis tetapi palsu yang dicanangkan oleh PH.
Mesej jelas juga disampaikan kepada kerajaan PH bahawa mereka kini berdepan dengan satu blok Pemuda pembangkang yang kuat dan utuh.
Dewan Pemuda Ikatan berharap hubungan persaudaraan dalam kalangan blok Pemuda pembangkang berterusan hingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Ikatan











