LONDON 19 Feb. – Seorang wanita Britain memanfaatkan sepenuhnya waktu perjalanan ulang-alik ke tempat kerjanya selama empat jam setiap hari untuk menjana pendapatan sampingan.
Lapor Daily Mail, Amy Rose Grenside, 31, yang menaiki tren dari Southampton ke tempat kerjanya di London Waterloo tidak membazirkan masa dengan hanya melihat pemandangan luar atau membaca buku sebaliknya memanfaatkan masa itu dengan merancang untuk menghasilkan wang.
Wanita itu dilapor memperoleh sebanyak 8,000 pound (RM42,194) dalam tempoh tiga tahun dengan memuat naik resit miliknya ke aplikasi ganjaran yang menawarkan diskaun dan pulangan wang tunai sebagai balasan selain mengetahui tawaran penjimatan wang.
“Saya menonton rancangan televisyen mengenai kupon di Amerika Syarikat (AS). Ada seorang kanak-kanak, Jordon Coc yang dipanggil budak kupon.
“Dia menunjukkan betapa mudahnya (mengumpul kupon) dan sangat bersemangat untuk mendapatkan pulangan wang tunai. Saya fikir bukan semudah itu, jadi saya menyelidik dan akhirnya memuat turun enam aplikasi berbeza dalam telefon bimbit,” katanya.
Menurut Amy, dia menghabiskan masa kira-kira 12 jam seminggu untuk mencari tawaran terbaik, kupon dan penjimatan wang dan mula menggunakan kupon semasa bapanya mendapat kanser pada Ogos 2017.
Kata Amy, dia berjimat sebanyak yang boleh untuk membantu keluarganya kerana tahu itu akan membuat bapanya yang sakit berasa bangga.
Tambahnya, dia juga kerap menghabiskan masa untuk menunjukkan cara menggunakan aplikasi tersebut dan bagaimana mendapatkan tawaran terbaik serta menggabungkannnya.
Amy memberitahu, dia turut membantu warganet mengenai penggunaan kupon menerusi laman Facebook, ‘Appy Savers’ dan berkongsi tawaran menarik jika terdapat barangan percuma pada aplikasi.
“Aplikasi kupon ‘GreenJinn’ merupakan aplikasi kegemaran saya kerana ia menggalakkan pengguna membeli buah, sayur dan sebagainya,” katanya.– AGENSI











