Perak dicadang ikut Selangor - Utusan Malaysia

Perak dicadang ikut Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 19 Feb. – Kerajaan negeri Perak dicadangkan menjadi negeri kedua selepas Selangor dalam mengadakan sesi pendengaran awam bagi proses pemansuhan pewartaan hutan simpan.

Presiden Persatuan Akti­vis Sahabat Alam (Kuasa), Mo­hamad­ Hafizudin Mohd. Nasarudin berkata, kaedah itu bukan sahaja memudahkan maklumat diperolehi malah membantu dalam mencapai persetujuan bersama sebelum projek pembangunan dapat dijalankan di kawasan berkenaan.

Malah katanya, kaedah tersebut juga dilihat dapat meng­e­lakkan sebarang konflik apabila maklumat mengenai pemansuhan hutan simpan dilakukan secara rahsia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selangor adalah satu-satunya negeri yang mengadakan pendengaran awam apabila mahu memansuhkan hutan simpan. Jadi kita berharap Pe­rak akan menjadi negeri kedua (mengadakan sesi pendengaran awam).

“Semasa pendengaran awam, kita akan tahu segala maklumat, boleh capai kata persetujuan dan segala projek pembangu­nan boleh berjalan dengan lancar. Selama ini, maklumat dibuat secara rahsia dan konflik banyak terjadi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemu­an dengan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Pertemuan selama lebih sejam itu turut disertai Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Mohamed Zin Yusop; Ahli Majlis SAM, Mohideen Abdul Kader dan Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman.

Mengulas lanjut Mohamad Hafizudin berkata, dalam pertemuan bersama Ahmad Faizal itu, pihaknya juga membangkitkan pelbagai isu lain termasuk pencerobohan tanah haram di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya ada menyarankan kepada kerajaan negeri untuk mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemantau ketiga dalam isu alam sekitar.

Katanya, sebagai NGO yang membawa isu-isu alam sekitar, pihaknya mahu membantu agensi-agensi kerajaan dalam mengenal pasti kawasan yang telah diceroboh dan kawasan yang sesuai mahu pun tidak untuk sesuatu pembangunan dijalankan.

“Kami turut meminta kerajaan negeri untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang mengumpulkan pihak kerajaan negeri daripada agensi-agensi teknikal, NGO dan komuniti untuk berbincang bagi merencanakan pembangunan di Perak selepas ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×