Imigresen gempur Pati di pusat hiburan - Utusan Malaysia

Imigresen gempur Pati di pusat hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Selangor mengempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di lima buah pusat hiburan sekitar Puchong, Petaling Jaya dan Seri Kembangan, malam tadi. 

Dalam serbuan selama lima jam bermula 8 malam itu berjaya menahan 38 PATI termasuk 18 perempuan berusia 19 hingga 35 tahun.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan tersebut adalah hasil maklumat dan risikan pihaknya terhadap kehadiran PATI yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO), pekerja penghantar makanan dan minuman serta pelanggan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati kesemua PATI tersebut telah bekerja di pusat karoake (KTV) dan kelab malam sejak tiga bulan lalu.

“Semasa pemeriksaan dijalankan terdapat warga asing yang bekerja di premis tersebut cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa. 

“Bagaimanapun, tindakan pantas kami berjaya menghalang mereka daripada meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, hasil serbuan di lima premis itu berjaya menahan 38 PATI daripada pemeriksaan terhadap 57 individu. 

Ujarnya, ini melibatkan 15 warga Bangladesh, Thailand (12), Vietnam (5), Indonesia (2) dan Laos (1). 

“Berdasarkan 38 tangkapan itu didapati 18 daripadanya bekerja sebagai GRO. 

“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa  Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut,” katanya. 

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN