IPOH 19 Feb. – Seramai 86 pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar di Padang Rengas keracunan makanan apabila dikesan mengalami gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam sejak kelmarin.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, kesemua pelajar berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun itu dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, daripada jumlah itu hanya enam pelajar dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan lanjut manakala pelajar lain pula menerima rawatan pesakit luar.
“Kejadian tersebut melibatkan 86 pelajar daripada keseluruhan 562 orang yang terdedah dan daripada jumlah itu, hanya enam pelajar yang dimasukkan ke dalam wad namun keadaan mereka dilaporkan stabil.
“Salah seorang pelajar yang dirawat di wad bagaimanapun dibawa oleh keluarganya ke hospital swasta untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











