KUALA LUMPUR 18 Feb. – Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dijangka mampu memberi lebih RM1 bilion kepada kerajaan dalam bentuk dividen tahunan pada 2019 di sebalik iklim ekonomi yang mencabar.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Pelaburan sempena ulang tahun ke-10 Nomura Islamic Asset Management di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika diminta memperincikan tentang rancangan dana kekayaan kedaulatan negara itu untuk mengurangkan penglibatannya di peringkat global dan pegangan di dalam aset tidak strategik.
Dividen 2018 Khazanah kepada kerajaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Pada 2017, Khazanah memberi dividen sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan.
Pada 14 Februari lalu, Khazanah dilaporkan akan mengumumkan pelan untuk mengurangkan kepentingannya dalam aset bukan strategik dan tidak melabur di luar pesisir seperti di London.
Dalam laporan Reuters baru-baru ini berhubung rancangan Khazanah itu ia dijangka membabitkan Tenaga Nasional Bhd., Malaysia Airlines Bhd. (MAB), Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Telekom Malaysia (TM).
Sehari selepas itu, Khazanah yang memiliki pegangan di dalam Axiata Group Bhd. (Axiata) melalui anak syarikatnya, Axiata Investments (Singapore) Limited menjual keseluruhan kepentingan Axiata dalam M1 Limited (M1) kepada Konnectivity Pte. Ltd. (Konnectivity), pada harga RM1.65 bilion.
Pada November 2018, Khazanah melupuskan 16 peratus kepentingan atau 1.4 bilion saham dalam IHH Healthcare Bhd. (IHH) kepada Mitsui & Co. Ltd. membabit pertimbangan tunai RM8.42 bilion atau RM6 sesaham.
Dalam perkembangan lain, Shahril Ridza berkata, sebarang penambahan dana ke dalam MAB akan bergantung kepada kertas cadangan oleh syarikat penerbangan nasional itu.
“MAB buat masa ini sedang menyemak semula strategi sedia ada mereka dan dijangka dibentangkan kepada pelabur tidak lama lagi. Kami masih menunggu pelan strategi baharu daripada MAB.
“MAB perlu mengatur pelan strategiknya sendiri untuk bersaing dalam industri penerbangan serta menghasilkan keuntungan,” katanya.
Dana kekayaan kedaulatan negara itu, yang mengambil alih MAB pada 2014, telah menyuntik sebanyak RM6 bilion ke dalam syarikat itu bagi membantunya mencatatkan keuntungan selepas terjejas akibat kemerosotan nilai ringgit dan harga minyak jet yang melonjak.











