KPJ bantu perokok tegar berhenti merokok - Utusan Malaysia

KPJ bantu perokok tegar berhenti merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 18 Feb. – Hospital Pakar KPJ Puteri di sini membantu perokok tegar berhenti merokok menerusi program khas M-Quit yang dianjurkan secara percuma.

Program yang mengambil kira sensitiviti sosial dan aspek kesihatan itu dapat membantu sehingga perokok itu berhenti daripada tabiat tersebut secara total.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haliza Khalid berkata, program yang menggunakan kaedah kaunseling itu sudah dijalankan sejak Januari lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua peserta M-Quit ini terdiri daripada perokok secara sukarela untuk berhenti. Sehingga kini, seramai 10 perokok tegar sudah bebas daripada tabiat tersebut.

“Kita mempunyai tiga kaunselor bertauliah yang diakreditasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membimbing peserta dalam program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina KPJ Puteri, di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah Eksekutif KPJ Puteri, Khairun Ahmad.

Haliza berkata, ketiga-tiga kaunselor yang dilantik itu akan membimbing para peserta dalam sekurang-kurangnya lapan bulan atau sehingga pulih daripada ketagihan.

“Kaunseling percuma ini berlangsung pada hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 9.20 pagi hingga 12.30 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, pada sambutan Tahun Baru Cina itu KPJ Puteri sekali lagi meneruskan tradisi tahunan mereka dengan menyediakan kakitangan dan pelanggan mereka dengan jamuan yee sang.

Menariknya pada tahun ini, jamuan Yee Sang yang disediakan adalah sepanjang 40 meter yang mana disertai seramai 188 peserta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×