Penduduk mohon tangguh perpindahan - Utusan Malaysia

Penduduk mohon tangguh perpindahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 17 Feb. – Kira-kira 19 keluarga yang masih lagi menghuni Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang di sini memohon agar Majis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) membenarkan penduduk menangguhkan perpindahan mereka dari kawasan tersebut untuk tempoh dua minggu lagi.

Seorang penduduk, Shaifuddin Mat Hashim, 60, berkata, penduduk akur dengan arahan mahkamah agar berpindah namun mereka memerlukan masa mengemas barang-barang serta mencari rumah sewa baharu.

Selain itu katanya, penduduk juga memohon agar tawaran sewa bulanan berjumlah RM500 dinaikkan kepada RM900 kerana penduduk tidak dapat mencari rumah sewa dengan harga RM 500 di kawasan sekitar Butterworth.

“Memang ada rumah ganti yang MAINPP berikan tetapi ada kawasan rumah ganti yang dipenuhi warga asing dan faktor keselamatan menjadi keutamaan penduduk terutamanya warga emas.

“Kami akur untuk berpindah namun perlu rumah yang sesuai serta kami mohon tempoh selama dua minggu lagi diberikan kepada kami untuk berpindah selain tawaran harga sewa yang munasabah,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan hari ini merupakan tempoh akhir yang diberikan oleh MAINPP untuk penghuni yang masih tinggal di tanah wakaf itu untuk mengosongkan rumah masing-masing.

Pada 2010, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi pembangunan atas Lot 208 Seksyen 2, Tanah Wakaf Abdul Cauder seluas 1.093 hektar di Jalan Mengkuang, di sini.

Berdasarkan perancangan awal, sebanyak 470 unit rumah pangsa kos sederhana rendah setinggi 22 tingkat dirancang dibina bagi tujuan penempatan semula 46 penghuni terbabit.

Penghuni ditawarkan rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi dan penghuni turut ditawarkan bayaran sewa rumah sementara sebanyak RM500 sebulan sehingga rumah pangsa kos sederhana di situ siap.

Sehingga tempoh tawaran tamat pada September 2010, hanya 32 penghuni bersetuju dengan tawaran itu manakala 14 lagi enggan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×