MARANG – Pas menafikan dakwaan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya parti itu tidak menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden parti sebenarnya memberitahu Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahawa tahap komitmen dan kadar penglibatan Pas dalam PRK DUN Semenyih adalah berbeza berbanding PRK Parlimen Cameron Highlands sebelum ini.
“Sepanjang pertemuan dengan Perdana Menteri (Mahathir) itu, Presiden (Abdul Hadi) menyatakan pendirian Pas kekal konsisten meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lain.
“Pas juga tidak pernah menyatakan sokongan terhadap Bersatu dan Pakatan Harapan (PH),”
katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Rusila di sini hari ini.
Takiyuddin berkata, Pas juga mengekalkan hubungan dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.
Kosmo! Ahad hari ini melaporkan Mahathir berkata, Abdul Hadi memberitahunya Pas telah memutuskan untuk tidak menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih. – K! ONLINE











