KOTA TINGGI – Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili melakukan pelayaran ihsan membawa seorang nelayan yang mengalami sesak nafas ketika menangkap ikan di Tanjung Kelesa di sini pagi hari ini.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada MERS 999 pada pukul 9.30 pagi memaklumkan ada seorang nelayan berusia 51 mengalami sakit dada.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi di kedudukan 12 batu nautika timur Tanjung Kelesa.
”Bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian pada pukul 10.40 pagi segera memindahkan pesakit lelaki yang berumur 51 tahun itu.
“Pihak kita tiba di jeti Sedili Besar pada pukul 11.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zulfadli berkata, pesakit kemudiannya diserahkan kepada pihak perubatan untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Sedili Besar untuk tindakan susulan. – K! ONLINE.











