Papagomo ditahan polis - Utusan Malaysia

Papagomo ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR –  Pengendali laman blog Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris ditahan polis dipercayai bagi membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam.

Wan Muhammad Azri melalui muat naik di laman sosial Twitter miliknya berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan sokongan malah turut menyertakan sekeping gambar sedang memasuki sebuah kereta yang dipercayai milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Terima kasih Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kerana menjemput saya di rumah memandangkan banyak pula pasukan khas dari Bukit Aman sudah berkumpul depan rumah saya sejak pagi tadi.

“Apa pun terima kasih atas sokongan anda semua, Insya-Allah sokongan dan doa semua akan pastikan kemenangan kita dalam menentang kerajaan Pakatan Hancing DAP,” katanya melalui muat naik di Twitter.

Terdahulu satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya oleh Syed Saddiq semalam mendakwa telah dikasari oleh Wan Muhammad Azri yang bertindak mencekak leher beliau dengan kasar dari belakang. 

Kejadian tersebut berlaku sewaktu ahli Parlimen Muar itu sedang berjalan menuju ke keretanya selepas selesai sesi penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×