KOTA BHARU 15 Feb.- Akademi Badminton Negara (ABN) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur telah dijadikan pusat latihan dan akan dimanfaatkan sepenuhnya tidak lama lagi.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata, setakat ini pusat berkenaan sudah pun digunakan sebagai pusat latihan.
“ABM sudah digunakan sebagai pusat latihan dan kementerian kini sedang menaik taraf asrama dan hostel.
“Pada masa yang sama sudah ada perjumpaan antara Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Perbadanan Stadium untuk mencari titik pertemuan supaya akademi itu boleh diguna pakai sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Padang Bola Sintetik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan ABM di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, yang dikatakan bakal menjadi projek Gajah Putih kerana tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. -UTUSAN ONLINE











