KUALA LUMPUR 14 Feb. – Semua petugas daripada Parti Amanah Negara (Amanah) diwajibkan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan bermula 16 Februari ini.
Menerusi laporan portal Malaysiakini, unit komunikasi dan media Amanah dalam kenyataan memberitahu keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat kepemimpinan tertinggi parti malam tadi.
“Setiap agensi kementerian juga tidak dibenarkan berada dalam kawasan PRK selepas tarikh penamaan calon bagi mengelak berlaku sebarang penyalahgunaan aset kerajaan untuk kepentingan sempit kepartian.
“Amanah berharap supaya semua petugas dapat mengikuti ketetapan ini demi memastikan kemenangan PH dalam PRK DUN Semenyih boleh dikekalkan dengan majoriti undi lebih tinggi,” katanya di sini semalam. -UTUSAN ONLINE











