Jangan mimpi dapat geran - Utusan Malaysia

Jangan mimpi dapat geran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Gara-gara culas menyelesaikan tunggakan gaji pemain, tujuh pasukan Liga Malaysia (Liga M) dalam risiko mungkin tidak akan menerima geran tahunan.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi tempoh sehingga Jumaat ini untuk melihat laporan kewangan semua pasukan berkenaan atau mereka boleh melupakan habuan yang sepatutnya diterima setiap tahun.

Biarpun tidak menyatakan jumlah geran yang sepatutnya dinikmati pasukan berkenaan musim ini, namun berdasarkan pembayaran tahun lalu, pasukan Liga Super akan menerima RM3 juta manakala RM1 juta untuk mereka yang beraksi di Liga Perdana.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jangan bermimpi. Kepada pasukan yang menunggu (geran) untuk bayar hutang, itu tidak akan terjadi.

“Jika kami beri geran tahunan ini kepada pasukan terlibat (dengan masalah tunggakan gaji) kemudian mereka menggunakannya untuk menyelesaikan tunggakan gaji tahun lalu, apa yang akan berlaku pula untuk musim 2019?

“Jadi masalah tidak akan selesai, malah kita hanya mengalami kitaran sama.

“Perkara ini harus dihentikan dan mereka wajib menyelesaikan dahulu tunggakan gaji sebelum MFL memberi geran tahunan musim 2019,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam semalam.

Biarpun tidak menyatakan pasukan mana yang berada dalam senarai pemantauan, namun Felda United, Kuala Lumpur, Perlis, Kelantan serta Terengganu City FC antara yang berdepan isu tunggakan gaji pemain ketika ini.

Menurut Kevin lagi, selain berdepan sekatan geran, pasukan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain juga berisiko dipotong mata atau disingkirkan ke liga bawahan.

Begitupun tegasnya, keputusan tidak akan dibuat sewenang-wenangnya tetapi perlu dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Harus diingat, apa saja keputusan yang diambil nanti adalah keputusan semua pasukan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mewakili semua pasukan yang bertanding dalam Liga M.

“Mungkin ada pihak di luar sana seperti sesetengah ‘raja’ di Twitter yang kata setiap perkara CEO MFL kena bertanggungjawab dan letak jawatan.

“Ia bukan keputusan saya atau pihak sekretariat MFL tetapi mengikut apa yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini