KOTA BHARU 13 Feb. – Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang sebelum ini menafikan sebagai individu dirakam bercakap mengenai Pas menerima duit UMNO sebelum rakaman audio tersebut tular tahun lalu, hari ini mengakui suara tersebut adalah miliknya.
Perkara tersebut dinyatakan dalam penjelasan panjang lebar yang dibahagikan kepada enam bahagian yang dipanggil ‘pintu’ sebelum dikongsikan Nik Mohamad Abduh sendiri dalam akaun Facebook miliknya.
Dalam kenyataan itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, apabila rakaman audio tersebut tular tahun lalu, beliau memilih untuk bercakap benar dan mahu mengesahkannya kerana yakin

isi ucapan itu akan mudah difahami jika diambil pendengar dalam konteks yang sebenar.
Bagaimanapun katanya, selepas merujuk kepada kepemimpinan parti, mereka memutuskan supaya beliau menafikannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri merestui keputusan tersebut bagi membendung serangan dibuat musuh politik parti.
Tegas beliau, ada tiga institusi yang berhak mengubah keputusan pertama (penafian) tersebut iaitu Pas sebagai tuan beliau, mahkamah sebagai neraca menegak keadilan di dunia serta kerajaan Malaysia melalui siasatan oleh pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kenyataan saya kepada ketiga-tiga institusi tersebut adalah sama. Saya mengakui kebenaran suara saya itu. Saya juga menegaskan di hadapan mereka untuk saya terus menafikannya di hadapan publik (awam) sebagai hak menjaga kerahsiaan yang ditekankan oleh agama,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau dalam pada itu berkata, ucapan dalam audio terbabit sebenarnya mengandungi dua intipati utama iaitu meminta kumpulan 40 berhenti menyiasat dan menghukum kepemimpinan parti serta menerangkan hukum agama berkaitan mengambil wang musuh politik iaitu UMNO.
“Saya jelaskan menerima wang sesiapa pun daripada UMNO adalah haram hanya apabila berbentuk rasuah atau sogokan atau dedak yang bermaksud kita terpaksa menjual perjuangan dengan mencairkan pendirian parti atau menyokong tindakan UMNO yang bersalahan dengan polisi parti.
“Adapun pemberian biasa seperti kekeluargaan, persahabatan, derma, kebajikan dan lain-lain, maka ia adalah harus. Bahkan ia menambah kasih sayang di antara umat Islam,” katanya.
Malangnya kata beliau, kumpulan 40 terbabit tidak pernah berpuas hati dan menyalah tafsir ucapannya dengan menganggap beliau telah memperakui bahawa Pas telah menerima wang rasuah dan sogokan daripada UMNO.











