PULAU PINANG 13 Feb. – Pemilik gerai di kawasan Teluk Bahang di sini yang dirobohkan oleh pihak berkuasa kelmarin didapati telah menyewakan tapak perniagaan kedai makan dan mencuci kenderaan itu kepada warga asing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim berkata, selain itu tiga lagi gerai yang dikatakan dimiliki peniaga berkenaan dibina di tanah rizab kerajaan negeri dan telah disewakan kepada individu lain yang merupakan warga tempatan.
“Pemilik gerai berkenaan telah ditawarkan untuk berpindah ke lokasi baharu berhampiran

kawasan tersebut namun dia menolak.
“Tapak perniagaan yang telah dirobohkan oleh pihak berkuasa sebenarnya telah disewakan kepada warga asing yang membayar kira-kira RM10,000 kepada pemilik gerai berkenaan. Tapak perniagaan ini juga tidak mempunyai permit,” katanya di sini hari ini.
Semalam, pemilik gerai berkenaan Afzainizam Abdullah, 41, meluahkan kekecewaan dengan tindakan pihak berkuasa merobohkan gerai miliknya yang telah beroperasi selama lapan tahun di situ.
Afzainizam mendakwa gerainya dirobohkan hanya dua minggu selepas notis pengosongan diterima, meskipun dia merayu supaya ditangguhkan sekurang-kurangnya hingga ke bulan depan.
Menurut Zolkifly, pihaknya telah mengenal pasti dua lokasi sesuai untuk peniaga-peniaga di situ berniaga dan pihaknya akan memanggil kesemua mereka untuk membincangkan perkara berkenaan terlebih dahulu.











