Bau asap selamatkan dua beranak - Utusan Malaysia

Bau asap selamatkan dua beranak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA 13 Feb. – Bau asap menyelamatkan seorang ibu dan anaknya daripada terperangkap di dalam bilik tidur dalam kebakaran sebuah rumah di Felda Sebertak di sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.41 malam itu, Nursila Samsul Badri, 23, berada di dalam bilik menemani anaknya berusia setahun yang sedang tidur manakala anak saudaranya berusia lapan tahun tidur di ruang tamu.

Nursila berkata, dia menye­dari kejadian itu yang bermula di laluan depan biliknya selepas menghidu bau asap yang masuk ke dalam biliknya.

“Sebaik sahaja bangun, saya nampak ‘cahaya merah’ di bawah pintu, apabila pintu dibuka api te­lah membakar almari pakaian dan saya terus mengangkat anak keluar dengan membawa bersama anak saudara yang tidur di ruang tamu.

“Saya bersyukur keluar cepat dari bilik kerana sejurus selepas itu, api terus marak membakar seluruh rumah sehingga saya tidak dapat menyelamatkan barang ber­harga,” katanya ketika ditemui di Felda Sebertak, di sini semalam.

Dalam pada itu, bapa Nursila, Samsul Badri Mohamad, 51, berkata, semasa kejadian dia baru sahaja keluar ke kedai kopi berhampiran sebelum menerima panggilan te­lefon daripada anaknya.

Katanya, sebaik sahaja tiba di rumahnya itu, dia melihat api marak dengan cepat dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

“Tiada barang yang selamat dan rumah ini pun kena bina semula keseluruhannya. Bagaima­napun saya reda dan bersyukur kerana anak dan cucu saya selamat dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyia­sat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 negeri, Mohd. Shahairy Rahadi berkata, siasatan awal menganggarkan julah kerugian sebanyak RM260,000 termasuk wang tunai dan barang kemas sebanyak RM10,000.

Ujarnya, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dalam kejadian itu yang mana pada masa ini siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×