KULAI 13 Feb. – Seorang wanita yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya diragut dua lelaki ketika menunggang motosikal di Jalan Merbuk 13, Bandar Putra di sini pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 6.15 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan lewat 20-an kerugian apabila wang tunai RM300 dan telefon bimbit jenis Huawei dirampas penjenayah terbabit.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan ke tempat kerjanya terletak di Bandar Putra.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beh Yeow berkata, apabila sampai di lokasi kejadian, wanita itu didatang dua lelaki menaiki motosikal Yamaha 135LC berwarna hitam.
“Suspek telah menahan wanita tersebut dan mengugut mangsa supaya menyerahkan barang berharga.
“Bimbang keselamatannya, mangsa menyerahkan telefon bimbit jenis Huawei, wang tunai kira-kira RM300, kad bank serta kad pengenalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beng Yeow berkata, mangsa tidak diapa-apakan sebelum membuat laporan polis pada pukul 8.32 pagi hari yang sama.
Jelasnya, polis kini menjalankan siasatan dan memburu suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











