IPOH 13 Feb. – Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang melahirkan rasa kecewa terhadap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana menerima penyertaan bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu.
Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim menyifatkan keputusan Mahathir itu sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat.
Menurutnya, beliau kecewa kerana Mahathir tidak berpegang pada janjinya sebelum ini untuk tidak menerima ahli UMNO yang meninggalkan parti itu ke dalam mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH).
“Pada Mei 2018, Mahathir dengan jelas menegaskan bahawa PH tidak akan menerima bekas ahli UMNO ke dalam PH.
“Namun amat mengecewakan apabila tidak sampai setahun, Mahathir tidak berpegang pada janjinya,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, enam bekas Ahli Parlimen UMNO menyerahkan borang permohonan untuk memasuki
Bersatu.
Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk
Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen
Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Lih Kang menggesa parti komponen PH berhenti daripada menerima bekas Ahli Parlimen Barisan
Nasional (BN) kerana ini memberi gambaran buruk terhadap kerajaan.
“Rakyat telah membuat keputusan menggulingkan BN dalam PRU-14 dan PH tidak sepatutnya menolak keputusan rakyat itu dengan cara menerima bekas wakil rakyat daripada regim terdahulu ke dalam kerajaan sekarang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











