PARIS 12 Feb. – Kota Paris menyaman penyedia perkhidmatan hospitaliti berasaskan komuniti, Airbnb sebanyak AS$14 juta (RM57 juta) kerana menerbitkan 1,000 iklan penyewaan yang menyalahi undang-undang, menurut Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo dalam wawancara akhbar Journal du Dimanche.
Di bawah undang-undang Perancis pemilik rumah di Paris boleh menyewakan hartanah mereka untuk platform penyewaan jangka pendek sehingga 120 hari setahun.
Nombor pendaftaran perlu dimasukkan ke dalam iklan berkenaan bagi memastikan hartanah berkenaan tidak disewa dengan lebih lama.
Perancis meluluskan undang-undang tersebut pada 2018 yang menjadikan syarikat-syarikat seperti Airbnb boleh dikenakan denda sebanyak RM57,563 untuk setiap hantaran iklan yang menyalahi peraturan. Peruntukan baharu itu membolehkan Paris mencabar Airbnb di mahkamah.
Menurut Hidalgo, tujuannya adalah untuk memberi kesedaran dan keprihatinan kepada pihak tertentu dengan menyiarkan iklan sewa yang tidak dibenarkan untuk mengelakkan ia merosakkan beberapa kawasan kejiranan di Paris.
Beberapa bandar di seluruh dunia menyatakan kebimbangan bahawa platform seperti Airbnb menjadi pesaing yang tidak adil kepada pengusaha hotel dan boleh menjadikan beberapa kawasan kejiranan sebagai zon pelancong sahaja.
Seorang jurucakap wanita untuk Airbnb berkata, pihaknya telah melaksanakan langkah-langkah untuk membantu pengguna laman webnya di Paris untuk mematuhi peraturan Eropah.
Bagaimanapun katanya, peraturan di Paris tidak cekap dan seimbang serta bertentangan dengan peraturan Eropah.
Perancis merupakan pasaran kedua terbesar Airbnb selepas Amerika Syarikat. Paris merupakan antara kota yang paling banyak dikunjungi di dunia.
Airbnb yang diasaskan pada 2008 di San Francisco memadankan carian pengguna yang mahu menyewakan sebahagian atau keseluruhan ruang kediaman kepada tetamu melalui laman web. – REUTERS











