Kim Swee kekal pemain sedia ada - Utusan Malaysia

Kim Swee kekal pemain sedia ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Bukan mahu jual mahal atau memanjangkan sengketa, namun, jurulatih skuad Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee telahpun membuat keputusan muktamad untuk tidak mahu mendapatkan khidmat pemain Terengganu FC II, meskipun, telah mendapat kelulusan daripada pasukan tersebut.

Kim Swee berkata, selepas mengambil kira faktor waktu, beliau berasakan pemain berkenaan tidak mempunyai masa yang cukup untuk membentuk persefahaman dengan rakan sepasukan dan hanya mengekalkan kesemua pemain sedia ada.

“Ini tiada kena mengena dengan soal tawar hati atau terkilan. Bagi saya, kami hanya ada dua hari untuk latihan dan selepas itu, kami akan mengadakan perlawanan latihan seterusnya ke Kemboja. Jadi waktu yang ada amat singkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika pemain itu sampai esok, dia hanya ada sehari untuk berlatih, jadi, masa dia bersama pemain yang lain agak lewat. Saya hanya akan kekalkan 23 pemain sedia ada,” katanya kepada pemberita di padang latihan Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Utusan Malaysia, hari ini, melaporkan Kim Swee menempelak tindakan pengendali Terengganu II, Tengku Hazman Raja Hassan yang mendiamkan diri ketika diminta kebenaran melepaskan salah seorang pemainnya setelah mendakwa panggilan telefon dan mesej pesanan ringkas (SMS) yang dihantar tidak dibalas.

Bagaimanapun, Tengku Hazman menjelaskan perkara tersebut berlaku disebabkan masalah komunikasi, malah, bersedia untuk melepaskan pemainnya iaitu Mohammad Ridzuan Mohd. Razali bagi melapor diri bersama skuad B-22 negara.

Skuad muda negara kini dalam persiapan menghadapi Piala AFF B-22 di Phnom Penh, Kemboja pada 17 hingga 26 Februari ini dan Kim Swee berkata, mereka akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang MK Land di MSN Bukit Jalil, Khamis ini.

“Aksi ini penting untuk saya mencari kombinasi dalam menentukan kesebelasan utama, walaupun, kita tidak dapat menentang pasukan yang diingini. Bukan mahu memandang rendah MK Land tetapi perlawanan tersebut mencukupi untuk pemain mendapatkan kecergasan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini