KUALA LUMPUR 12 Feb. – Sebanyak 30 peratus pengusaha bas melibatkan semua kategori industri pengangkutan itu berdepan penutupan operasi berikutan kelewatan pembaharuan permit oleh Kementerian Pengangkutan.
Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Express Semenanjung, Tajarul Yusmi Mohd. Yusup berkata, kelewatan itu juga sekali gus mengakibatkan pengoperasian bas berkenaan terjejas sejak September tahun lalu.
Katanya, masalah itu berlaku selepas peralihan kuasa daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada Jun tahun lalu.
“Antara bas yang terjejas ialah bas express, bas persiaran, bas sekolah, bas catar dan bas pekerja kerana berdepan kelewatan perbaharui permit yang kini tertunggak selama enam bulan lalu.
“Kebanyakan bas berkenaan tidak boleh meneruskan operasi kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan dan kesan daripada itu ada diantara pengusaha terpaksa menutup operasi perkhidmatan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung, Steven S. W. Chong; Presiden Persatuan Gabungan Bas Catar dan Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusoff dan Timbalan Presiden Pengangkutan Darat Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Jayakumar.
Sementara itu, Mohd. Rofik meminta agar kementerian terlibat mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) pembaharuan permit bagi memudahkan semua pihak.
“Selain itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga disarankan untuk menilai dan meneliti keperluan pemandu pelancong bagi bas pelancong tempatan kerana ia seperti menyukarkan agensi pelancongan tempatan,” ujarnya.










