Sindiket palsu dokumen PATI Vietnam terbesar lumpuh - Utusan Malaysia

Sindiket palsu dokumen PATI Vietnam terbesar lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING 12 Feb. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Mari­tim Malaysia) melumpuhkan sindiket pemalsuan dokumen terbesar melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Vietnam di negeri ini dan Pahang susulan penahanan sebuah bot di Tanjung Kempit, Endau dan pe­nangkapan seorang tekong laut di Tanjung Gemok, Rompin, Pahang dua minggu lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten V. Panner Salvan berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas bot yang dinaiki 19 PATI Vietnam ditahan dalam operasi bersama-sama Maritim Malaysia Zon Mer­sing dan Pahang di kedudukan 3.3 kilometer dari Tanjung Kempit, Endau, 30 Januari lalu.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas 19 PATI itu telah membawa kepada penahanan seorang wanita dipercayai tekong darat yang disyaki menjalankan aktiviti memalsukan dokumen dan menguruskan perjalanan PATI pulang ke negara asal.

“Suspek berusia 34 tahun itu kemudian ditahan pada 3 Februari lalu pada pukul 10.15 pagi di Taman Cemerlang 2, Tanjung Gemok. Serbuan itu turut me­nemukan 36 pasport milik warga Vietnam, 54 buku pelaut negara Vietnam, kelengkapan pemalsuan cap serta dokumen mencurigakan.

“Penangkapan ini dipercayai berjaya melumpuhkan sindiket pemalsuan dokumen terbesar di Johor dan Pahang. Kini kami sedang memburu dalang sindiket iaitu seorang lelaki bernama Ngu­yen Hai Au, 43,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Panner Salvan, ke­semua PATI berusia lingkungan 19 ke 50 tahun itu kini ditahan dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959 dan Akta Perikanan 1985 manakala tekong darat disiasat di bawah Akta Pasport 1966.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati sindiket itu menjadikan perairan Endau sebagai laluan utama untuk PATI warganegara Vietnam keluar dan masuk negara ini.

“Percubaan mengesan dalang sindiket itu sebelum ini berjaya dihidu dan suspek berkemungkinan mendapat bantuan daripada orang tempatan untuk melarikan diri. Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung suspek diminta me­nyalurkan maklumat kepada Zon Maritim Mersing di talian 07-798 2529 (pusat operasi),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×