100 basikal tua ‘tawan’ bandar Muar - Utusan Malaysia

100 basikal tua ‘tawan’ bandar Muar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR 12 Feb. – Sejurus bendera Johor diisyaratkan ke bawah, lebih 100 orang yang menaiki basikal tua atau basikal klasik penuh semangat memulakan kayuhan masing-masing.

Kelihatan meriah dan unik apabila basikal tua itu bukan sahaja dihiasi dengan Jalur Gemilang atau bendera Johor tetapi penunggangnya turut berpakai­an bertemakan klasik.

Mereka merupakan peserta Program Kayuhan Klasik Muar 2019 memakai pelbagai pakaian sera­gam lama yang pernah digunakan pasukan keselamatan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Kehadiran mereka mencuri tumpuan warga Bandar Maharani Bandar Diraja itu apabila berkayuh mengelilingi bandar dengan diiringi polis pengiring.

Ramai warga bandar terkejut dan teruja melihat basikal tua tersebut ‘menawan’ bandar Muar beramai-ramai malah tidak kurang juga mengambil gambar bersama mereka.

Program Kayuhan Klasik Muar 2019 dianjurkan Persatuan Basikal Klasik Daerah Muar yang aktif menganjurkan akti­viti seumpama itu di daerah ini.

Terdahulu, perasmian program itu disempurnakan Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim diiringi Pengerusi Persatuan Basikal Klasik Daerah Muar, Datuk Lokman Md. Dom dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Muar, Salehuddin Satar.

Tunku Idris melancarkan program itu di Tangga Agung, Pejabat Daerah Muar di Jalan Petrie di sini pukul 8.30 pagi sambil disaksikan pegawai jabatan kerajaan daerah ini.

Lokman berkata, kayuhan tersebut adalah kali kedua sejak ditubuhkan sebagai usaha untuk mengingati sejarah penggunaan pelbagai jenis basikal lama termasuk yang digunakan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dahulu.

“Orang ramai dapat melihat pakaian seragam pelbagai pasukan tentera sama ada tentera Jepun, British, Angkatan Tentera Malaysia, pakaian seragam jabatan kerajaan sebelum perang dan anggota pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia sebelum perang,” katanya ketika mengetuai kayuhan tersebut yang berakhir di Dataran Tanjung Emas di sini baru-baru ini.

Salehuddin berharap, kayuhan itu dapat menarik minat pelancong luar dan dalam nege­ri berkunjung ke daerah ini setiap cuti hujung minggu atau cuti perayaan.

Pihaknya akan memasukkan dalam kalendar pelancongan daerah pada masa depan setelah didapati membantu memperkenalkan daerah Muar dalam kalangan peminat basikal klasik tanah air.

“Saya diberitahu, ramai peminat basikal klasik dari luar Johor datang bersama-sama mengayuh basikal masing-ma­sing apabila dipelawa menyertai kayuhan seperti ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×