KUALA NERUS 12 Feb. – Perkhidmatan semua kaunter awam di jabatan kerajaan serta anak
syarikat kerajaan negeri di seluruh Terengganu akan dipertingkatkan sekali gus memastikan para
petugas memberi layanan terbaik serta berkualiti kepada pelanggan.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memberi jaminan itu berkata, beliau telah
memaklumkan perkara itu kepada Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya untuk
tindakan selanjutnya demi kepentingan rakyat.
Beliau tidak menolak kemungkinan menggunakan kaedah atau pendekatan memanggil petugas
kaunter menyertai kursus yang menjurus kepada tatacara serta layanan terbaik kepada
pelanggan.
“Saya sudah maklumkan kepada SUK (A. Rahman) supaya khidmat atau petugas kaunter
seumpama ini perlu dilatih, bukan jabatan ini saja tapi semua kaunter di seluruh Terengganu.
“Cara mana kita akan tengok lah nanti, mungkin kita akan panggil mereka sertai kursus tatacara
layanan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis
penyampaian Anugerah Sarjana Terengganu 2018 di Duyong Marina & Resort di sini hari ini.
Beliau mengulas luahan seorang pelanggan menerusi status Facebooknya sehingga viral dalam
laman sosial semalam gara-gara tidak puas hati dengan layanan petugas kaunter sebuah jabatan
kerajaan negeri ini yang disifatkannya kasar dan tidak beradab. – UTUSAN ONLINE











