SEMENYIH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan seramai 1,115 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang 385 bantuan sumber luar untuk bertugas semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, sebanyak tiga Unit ‘Public Order Riot’ dan lima ‘Platun Infantri’ daripada Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) telah siap diatur.
“Ia bagi berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Para petugas juga diingatkan untuk melaksanakan mandat serta tanggungjawab mengikut lunas undang-undang secara berhemah dan profesional bagi meniaga nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang akhbar selepas program lawatan kerja Menteri Dalam Negeri di Batalion 4, PGA, di sini hari ini.
Noor Rashid menambah, orang ramai tidak perlu berasa bimbang dan takut untuk keluar mengundi kerana aspek keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan PDRM.
“Kami memberi jaminan bahawa jentera PDRM telah bersedia sepenuhnya menyusun strategi penugasan yang lebih berkesan.
“Ia bagi memastikan proses PRK kali ini akan berjalan dengan lebih lancar dan aman,” ujarnya.
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada Pakatan Harapan, Bakhtiar Mohd. Nor akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.
Ia adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU14 yang sebelum ini yang menyaksikan penentuan di tiga PRK iaitu bagi DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. K! ONLINE











