KUALA TERENGGANU 12 Feb. – Seorang kanak-kanak lelaki yang menjadi yatim piatu sekelip
mata selepas lima ahli keluarganya maut dalam kemalangan jalan raya Sabtu lalu akan dijadikan
anak angkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu.
Pengarah Perkeso negeri, Nora Yaacob berkata, langkah itu akan memudahkan pihaknya
memantau dan memastikan setiap caruman dan pencen yang akan dibayar kepada Muhammad
Khairul Haziq Abdul Hadi, 5, kelak dapat diurus dan disalurkan dengan baik kepada kanak-kanak
malang itu.
Katanya, bapa Muhammad Khairul Haziq, Allahyarham Mohd. Khairulinzam Jusoh, 38, yang
merupakan kelindan lori mempunyai caruman mencukupi dengan Perkeso berdasarkan rekod
pekerjaan terdahulu sekali gus melayakkan waris menerima faedah pencen panakat.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000
kepada ibu Mohd. Khairulinzam, Wook Awang, 68, di kediamannya di Kampung Paloh Tuan
Sulong di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi di Kampung Pengkalan Atap di Batu Rakit dekat sini
mengorbankan ahli keluarga Muhammad Khairul Haziq iaitu ayah di samping ibunya, Nur
Syaazlien Syarizam Salleh, 21, dan adiknya yang berusia lapan bulan, Nur Khaira Aisyah.
Turut terkorban adalah nenek dan bapa saudara kepada kanak-kanak itu iaitu Rozilawati Mustafa
@ Razali, 43, dan Muhammad Nashrullah Salleh, 5. – UTUSAN ONLINE











