MERSING – Maritim Malaysia (APMM) melaksanakan gerakan memburu seorang lelaki warga Vietnam selepas dia didakwa menjadi dalang utama sindiket penyuludupan migran warga asing di Johor dan Pahang.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim V. Pannir Selvan berkata, suspek yang dikenali sebagai Nguyen Hai Au diburu susulan siasatan ke atas tangkapan 19 warga Vietnam yang cuba menyeludup keluar dari negara ini pada 30 Januari lalu.
Menurutnya, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditahan pada pukul 2.35 pagi ketika menaiki bot pancung di kedudukan 1.8 batu nautika Tanjung Empit, Endau di sini.
“Kita kini sedang giat memburu dalang utama sindiket penyeludupan manusia ini yang dikenali sebagai Nguyen Hai Au yang juga warganegara Vietnam.
“Lelaki ini dipercayai melarikan diri selepas mengetahui bot yang membawa PATI ini ditahan dan susulan itu kita menjejakinya pada 3 Februari lalu namun berjaya meloloskan diri selepas dapat menghidu pergerakan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Mersing di sini hari ini.
Pannir Selvan berkata, susulan itu pihaknya terus melakukan siasatan dan berjaya mengesan kedudukan suspek tiga hari kemudian (6 Februari) lalu namun dia berjaya melarikan diri dipercayai hasil bantuan warga tempatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki ini diminta tampil menyalutkan laporan kepada Zon Maritim Mersing ditalian 07-7982529.- K! ONLINE.











