KUALA LUMPUR 11 Feb. – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) yang dirujuk sebagai Malaysia Airports mempunyai hak untuk mengambil tindakan lanjut jika AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad enggan mematuhi surat tuntutan yang dikeluarkan pihaknya.
Menurut Malaysia Airports, ia juga boleh dibuat jika syarikat penerbangan tersebut berterusan mengeluarkan kenyataan yang salah, tidak tepat dan mengelirukan.
Jelasnya, AirAsia telah bertindak melampaui batasan dengan menerbitkan kenyataan tersebut melalui media bertujuan menjejaskan reputasi Malaysia Airports.
“Sehubungan itu, Malaysia Airports tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan surat tuntutan bagi melindungi kepentingan sendiri. Kami kekal dengan pendirian bahawa pertikaian dan perkara-perkara yang berkaitan perlu dibawa ke mahkamah untuk diadili.
“Pihak-pihak yang terlibat juga perlu membiarkan perkara ini diselesaikan oleh mahkamah. Oleh itu, tidak ada keperluan bagi AirAsia untuk membuat kenyataan negatif terhadap Malaysia Airports,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Malaysia Airports hari ini mengeluarkan dan menyampaikan surat tuntutan kepada AirAsia Berhad serta AirAsia X Berhad terhadap Ketua Pegawai Eksekutif masing-masing, Riad Asmat dan Benyamin Ismail untuk menarik balik penyiaran artikel yang tidak tepat dan mengelirukan itu.
“Artikel-artikel berkenaan disiarkan melalui portal dalam talian milik syarikat penerbangan tambang rendah itu,” katanya.
Malaysia Airports berkata, pihaknya menuntut AirAsia untuk memadam artikel-artikel berkenaan dengan segera dan berhenti daripada membuat sebarang kenyataan yang salah, tidak tepat dan mengelirukan.
“Kami tidak mempunyai masalah dengan AirAsia, dan telah memaklumkan kepada pemegang-pemegang saham tentang kemajuan dan status tuntutan mahkamah dibuat mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.










