ALOR SETAR – Seorang wanita warga Nepal hanya sempat bersembunyi di dalam tandas selama 10 minit sebelum dicekup penguat kuasa imigresen di sebuah kilang plastik di Lunas, Kulim dekat sini semalam.
Dalam operasi Ops Bersepadu itu, wanita berusia 23 tahun terbabit melarikan diri sebaik menyedari kilang diserbu sebelum bersembunyi di dalam tandas.
Cubaan warga asing tersebut bagaimanapun gagal apabila ditahan penguat kuasa imigresen yang menemuinya di dalam tandas berkenaan.
Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, wanita warga Nepal itu merupakan antara 30 warga asing yang ditahan dalam operasi di beberapa premis dan tapak projek perumahan di Kulim bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam semalam.
“Seramai 289 warga asing telah diperiksa dan seramai 30 daripada mereka ditahan kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka terdiri daripada 18 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki dan dua perempuan Nepal, seorang lelaki dan dua perempuan Indonesia, dua lelaki Myanmar serta seorang lelaki Pakistan berusia antara 22 hingga 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan awal mendapati kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Kesalahan lain adalah Seksyen (15)(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155) iaitu tinggal lebih
masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua warga asing berkenaan ditahan di lokap imigresen di bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Imigresen Belantik, Sik dekat sini. – K! ONLINE











