Bom tangan, pistol, 400 peluru dalam rumah proses dadah - Utusan Malaysia

Bom tangan, pistol, 400 peluru dalam rumah proses dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 11 Feb. – Sebutir bom tangan grenade jenis M61 yang masih hidup ditemukan di sebuah rumah teres dua tingkat yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah di Taman Bukit Indah di sini semalam.

Turut ditemukan hasil pemeriksaan lanjut sekumpulan anggota polis daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di rumah itu kira-kira pukul 2.30 petang semalam adalah dua pucuk pistol termasuk sepucuk buatan sendiri dan hampir 400 butir peluru hidup pelbagai jenis.

Menurut Ketua Polis SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid, bom tangan itu ditemukan disembunyikan di dalam kepala katil di sebuah bilik rumah berkenaan dan telah diserahkan kepasa Unit Pemusnah Bom.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas rumah itu dibuat susulan kejayaan pihaknya membongkar kegiatan berkaitan dadah di rumah empat bilik tersebut pada Disember tahun lalu dan menjumpai sejumlah dadah yang disimpan di dalam bagasi.

“Rumah berkenaan telah ditinggalkan oleh penyewanya kira-kira enam bulan sebelum serbuan pertama itu dibuat.

“Ketika serbuan pertama itu, polis menemukan lapan bungkus plastik mengandungi 20,470 biji pil Ekstasi bernilai RM716,450 dan 15 bungkus plastik mengandungi serbuk kafein seberat 15,031.2 gram (RM2,850).

“Turut ditemukan adalah balang kaca, botol plastik dan kaca mengandungi cecair disyaki bahan kimia, ketuhar, dapur elektrik, alat pemanas serta sarung tangan getah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, susulan serbuan itu, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mempunyai 16 rekod kesalahan berkaitan dadah bagi membantu siasatan.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Senjata 1960, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×