KUALA LUMPUR 10 Feb. – Dahulu, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditohmah sebagai zalim dan memeras rakyat, namun kini sudah ada pimpinan parti kerajaan yang menganggap ia satu tindakan Islamik dan menepati maqasid syariah.
Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Malaysia (PPJM), Hamdan Taha menganggap, ia berlaku kerana pemimpin kerajaan kini bertindak secara matlamat menghalalkan cara.
Katanya, walaupun apa hujah yang diberikan kerajaan, ia masih tidak dapat menafikan bahawa kedua-dua kerajaan – sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) – gagal mengemukakan hasil kajian bagi membuktikan keberkesanan AES mengurangkan kemalangan jalan raya.
“Tidak ada perubahan, sama ada ketika kerajaan BN atau kerajaan sekarang (PH). Mereka tidak membuat kajian yang tepat tentang AES. Kedua-dua kerajaan ini juga tidak berjaya membuktikan bahawa AES ini dapat mengurangkan kemalangan jalan raya.
“Ada pihak yang sebelum bersama kerajaan, dia setuju dengan kenyataan saya tetapi apabila jadi kerajaan, mereka pergunakan hukum Islam pula untuk menjustifikasikan keputusan mereka. Ini sesuatu yang tidak baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Hasanuddin Mohd. Yunus berkata, pemasangan AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya menepati maqasid syariah dalam Islam.
Menurut Hamdan, adalah tidak logik sesuatu perkara yang buruk boleh menjadi baik hanya kerana pemerintahan telah bertukar tangan. Bagi kami, tidak kira siapa yang memerintah, kita tetap tidak setuju dengan AES,” tegasnya.











