PULAU PINANG 10 Feb. – Sebelum ini, Nur Qalisya Noor Azmi merupakan kanak-kanak yang ceria dan aktif namun sejak enam bulan lalu murid Sekolah Kebangsaan (SK) Minden Height itu hanya mampu terlantar di rumah mereka di Flat Taman Tun Sardon di sini akibat diserang penyakit psoriasis.
Disebabkan penyakit kulit kronik itu juga, Nur Qalisya, 9, tidak dapat hadir ke sekolah sejak awal sesi persekolahan bermula tahun ini kerana kulitnya sensitif dengan cuaca panas.
Menurut ibunya, Noorrehan Che Saad, 33, Nur Qalisya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu tidak pernah diserang penyakit itu sebelum ini dan mula dikesan menghidap penyakit psoriasis pada awal Jun tahun lalu.
“Akibat penyakit ini, Nur Qalisya hanya mampu terlantar kerana keseluruhan kulitnya mengelupas, berasa pedih dan menjadi gatal-gatal.
“Nur Qalisya juga tidak dapat hadir ke sekolah seperti dahulu, saya sedih apabila dia selalu beritahu dia rindukan rakan-rakan di sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Noorrehan yang merupakan seorang suri rumah berkata, suaminya hanya bertugas sebagai seorang pemandu bas dan mereka mendapatkan rawatan bagi penyakit anaknya itu di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Doktor ada maklumkan penyakit ini sukar pulih dan berulang semula, setakat ini rawatan yang diterima di HPP sesuai dengan anak saya,” katanya.
Dalam pada itu, kerinduan Nur Qalisya terhadap alam persekolahan sedikit terubat hari ini apabila Pengarah Pendidikan negeri, Dr. Mahanom Mat Sam, guru SK Minden Height dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid melawat kanak-kanak tersebut menerusi program Ziarah Cakna serta menyampaikan bantuan kepada keluarga berkenaan.
Mahanom berkata, bagi memastikan Nur Qalisya tidak ketinggalan dalam pelajaran, guru sekolah tersebut hadir ke rumah Nur Qalisya secara bergilir-gilir untuk mengajarnya.











