DALAM kepercayaan masyarakat Barat, jika wanita bujang berjaya ‘menangkap’ bunga tangan yang dibaling pengantin perempuan dalam majlis perkahwinan, itu menandakan wanita tersebut bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Namun dalam masyarakat Melayu, penggunaan bunga tangan adalah sekadar simbol keceriaan dan kebahagiaan selain pelengkap busana pengantin yang disarung pada majlis perkahwinan.
Meskipun begitu, kebanyakan ratu sehari lebih gemar memilih bunga tiruan yang lebih murah berbanding bunga hidup. Namun, itu tidak menghalang hasrat dua beradik, Nur Shafinatul Haidar, 34, dan Nur Izzah Syamimi Md. Nasin, 29, untuk mempromosikan penggunaan bunga tangan daripada bunga segar.
Kedua-duanya adalah pemilik kedai gubahan bunga tangan segar, Pinjamsat. Nur Shafinatul memberitahu, nama Pinjamsat itu diambil secara rawak memandangkan kedua-duanya berasal dari Baling, Kedah.
“Kalau boleh…, kami nak cari nama yang orang senang nak ingat. Perkataan ‘sat’ adalah daripada dialek Kedah yang bermaksud sekejap. Jadi maksud Pinjamsat adalah pinjam sekejap,” katanya. Pada mulanya dia dan adiknya hanya memulakan perniagaan ini secara suka-suka.
“Kami bahagikan dua tugas yang berbeza iaitu saya menguruskan papan perkahwinan (wedding board) dan mempunyai ejen di seluruh negara manakala Mimi (Nur Izzah) menggubah bunga.
“Ini kerana kami nak kekalkan hanya ‘satu tangan’ terlibat dalam pembikinan gubahan agar konsep Pinjamsat mempunyai identiti sendiri dan tidak lari daripada kehendak pelanggan,” katanya kepada Mega Rona.
Menurutnya, keunikan bunga tangan Pinjamsat adalah jambangan yang terhasil menggunakan konsep ‘rustic’ iaitu jumlah daun lebih banyak daripada kuntuman bunga.
“Harga yang kami tawarkan adalah lebih murah memandangkan kami baru bertapak sejak 2017. Apa yang utama adalah gubahan yang kami hasilkan lain daripada yang lain. Kami juga banyak mengambil ilham dari luar negara,”tambahnya.
Sementara itu Nur Izzah Syamimi berkata, dia turut mengambil kelas untuk membuat gubahan bunga dan dekorasi hantaran untuk mengasah bakat.
“Saya akan tanya kepada pelanggan mengenai warna baju, pelamin dan bajet mereka. Harga bagi gubahan biasa yang kami tawarkan adalah serendah RM130, tetapi jika gubahan itu mengandungi campuran beberapa jenis bunga segar, maka harga akan bertambah.
“Jika ada tambahan daun, harga akan menjadi lebih mahal kerana bekalan daun diperoleh dari luar negara,” katanya.
Menurutnya, bagi mengekalkan kesegaran bunga, dia hanya akan menggubah bunga tangan itu sehari sebelum majlis berlangsung.
“Kami dapat bunga yang tidak kembang daripada pembekal dan apabila sampai ke tangan pelanggan, bunga itu akan menjadi mekar cantik,” tambahnya.
Menurutnya, gubahan bunga segar itu hanya ditawarkan di Johor Bahru dan jika ada tempahan dari luar kawasan, maka pihaknya akan membuat penghantaran melalui bas.
“Kami akan letak bunga tersebut di dalam kotak dan bungkus dengan kemas. Sebelum itu, bekas tersebut diisikan dengan sedikit air bagi mengekalkan kesegaran bunga.
“Jika pelanggan mahu menggunakan bunga tangan itu untuk dua majlis iaitu nikah dan sanding, mereka perlu mengelak daripada menyentuh kelopak bunga. Ini adalah tip supaya bunga itu tidak cepat lebam dan tahan lebih lama.
“Kemudian, sejurus selepas majlis, segera letakkan dalam balang berisi air dan sekiranya bergambar, jangan terlalu kasar memegang bunga tersebut.
“Jenis bunga yang tahan lama adalah kekwa dan carnation,” jelas Nur Izzah Syamimi.
Selain itu, mereka turut menawarkan ‘papan perkahwinan’ iaitu tempat bagi tetamu bergambar dengan dekorasi yang digubah cantik.
Papan itu bukanlah papan biasa, sebaliknya kualiti papan diperbuat daripada kayu keras, tebal dan kalis air.
Katanya, pelanggan mereka juga boleh menggantung papan tersebut sebagai tanda kenangan selepas majlis perkahwinan berakhir.
“Selalunya kami buat lakaran terlebih dahulu tentang saiz, warna dan reka bentuk sebelum diproses di kilang. Kami hias papan tersebut dengan gubahan bunga plastik sebelum menghantarnya kepada ejen-ejen kami.
“Terdapat tiga jenis papan perkahwinan iaitu arkilik, 3D dan ‘matte’. Kebanyakan orang menyukai jenis yang berkayu,” ujarnya.











