SUNGAI adalah sumber utama air, makanan, perikanan, pertanian, tenaga, pengangkutan dan juga kaya dengan organisma akuatik.
Makanan laut terutamanya ikan merupakan sumber utama protein bagi kebanyakan negara. Permintaan domestik terhadap ikan semakin meningkat selari dengan pertambahan penduduk namun kadar pengeluaran ikan daripada perairan tempatan semakin menurun.
Ancaman terbesar terhadap hidupan akuatik adalah pencemaran, kehilangan atau kerosakan habitat semula jadi akibat pembangunan, perubahan iklim dan ekploitasi secara berlebihan. Haiwan akuatik terutamanya makroinvertebrat boleh digunakan sebagai penunjuk biologi atau kualiti ekosistem.
Tindakan membuang sampah ke dalam sungai terutamanya bahan tidak terbiodegradasi seperti plastik dan kaca, kumbahan domestik dan juga industri boleh mengakibatkan pencemaran dan mencetuskan penyakit berbahaya.
Selain itu masalah berkenaan boleh mengganggu keseimbangan ekosistem dan rantai makanan semula jadi dalam ekosistem sungai. Kualiti air sungai baik diperlukan untuk kemandirian haiwan akuatik yang lebih baik dan mapan.
Kumpulan penyelidik daripada Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) diketuai oleh Dr. Nazia Abdul Kadar telah memantau parameter kualiti air dan kepelbagaian spesies ikan yang hidup di Sungai Petagas, Sabah.
Penyampelan ikan dilaksanakan selama enam bulan itu menggunakan jaring bersaiz 1” dan 2” dan berjaya mendapat sebanyak 21 spesies ikan. Kedalaman sungai mencecah sehingga tiga meter itu mempunyai kadar oksigen terlarut agak rendah dan sederhana di beberapa kawasan.

Kebanyakan ikan ditangkap adalah jenis ikan air payau dan pemangsa bermaksud memburu haiwan lain sebagai makanan. Antara ikan dominan menghuni sungai ini ialah ikan duri (Arius maculatus) dari Family Ariidae iaitu sebanyak 75 peratus.


Ikan ini mempunyai duri berbisa di sirip dorsal dan pektoral untuk melindungi diri dan dapat hidup di persekitaran ekstrim seperti di kemasinan tinggi dan oksigen rendah. Spesies lain dijumpai adalah ikan belukang seberat 1.1 kilogram (kg), ikan belanak, ikan bulan dan ikan buntal.

Ketika hujan lebat, boleh dilihat ikan air tawar seperti tilapia dan ikan baung terkenal dalam kalangan pemancing tempatan muncul di sungai ini.
Kajian ini merupakan salah satu pendekatan pertama dalam modul pemulihan sungai bagi projek EcoRiver Petagas yang sedang giat dilaksanakan sejak tahun 2019, iaitu mengenal pasti fauna hidup di persekitaran agar proses pemulihan sungai dapat dijalankan lebih baik.
Pada fasa kedua, pendekatan untuk pengubahsuaian dan pembaikan habitat untuk meningkatkan kepelbagaian fauna akan dirancang rapi dan dilaksanakan secara berperingkat.
Ikan dari sungai ini merupakan sumber makanan dan pendapatan utama penduduk tempatan. Walau bagaimanapun, kualiti, kebersihan dan keindahan sungai haruslah diberi perhatian dan dipelihara.
Sumber perikanan haruslah diurus dengan mapan untuk dinikmati generasi akan datang.
Justeru, semua agensi kerajaan dan swasta, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat perlu bekerjasama menjayakan pemulihan sungai.
Inisiatif memupuk kesedaran dan penglibatan masyarakat dalam aktiviti berkaitan dengan pemuliharaan sungai perlu diamalkan kerana pelaksanaan projek ini akan meningkatkan kualiti kehidupan komuniti setempat selain akan memperkenalkan Sungai Petagas sebagai tumpuan eko-pelancongan.
—————————–
Penulis adalah Pensyarah Kanan Institut Kajian Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah.










