KUALA LUMPUR – Ekspo Halal Malaysia (MHE) yang telah berlangsung baru-baru ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini merupakan platform terbaik buat syarikat bumiputera untuk menembusi pasaran halal secara besar-besaran di Jepun.
Presiden Agro Malaysia, Datuk Seri Gnanaraja berkata, keprihatinan Jepun terhadap produk makanan halal bukan semata-mata atas faktor keagamaan tetapi juga kebersihan yang sinonim dengan gaya hidup rakyat di sana.
“Jepun memandang serius kepentingan produk halal dan telah memeterai memorandum kerjasama berkaitan halal pada 26 November lalu yang turut mencetuskan penganjuran Ekspo Halal Malaysia (MHE) 2019.
“Agro Malaysia komited untuk memastikan para usahawan tempatan khususnya bumiputera Islam mengambil peluang menembusi pasaran halal di Jepun secara besar-besaran,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, permintaan terhadap makanan halal diramalkan semakin tinggi di Jepun sempena Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari 24 Julai hingga 9 Ogos yang dijangka menyaksikan kemasukan 40 juta pelancong asing dengan sebahagian besarnya Muslim.
Malaysia mengeksport makanan siap diproses bernilai AS$1.03 bilion (RM4 bilion) ke negara Asia Timur pada 2017 dengan Jepun merupakan destinasi kedua terbesar dengan nilai AS$249 juta (RM972 juta).
Destinasi utama eksport ini ialah China yang bernilai AS$391.6 juta (RM1.56 bilion) diikuti Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.











