Jangan keruhkan keharmonian negara-PM - Utusan Malaysia

Jangan keruhkan keharmonian negara-PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Feb.- Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihatkan supaya rakyat tidak membiarkan diri mereka terhasut dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian negara yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Perdana Menteri menjelaskan, rakyat di negara ini bertuah kerana mereka terdiri daripada berbilang kaum dan agama sekali gus dapat meraikan kepelbagaian tersebut dengan harmoni dan aman.

“Ini merupakan satu perkara yang biasa bagi kita, tetapi ia tidak sentiasanya begitu. Menjaga hubungan antara rakyat berlainan kaum, agama dan budaya bukanlah satu perkara yang mudah, kita tidak boleh pandang ringan perkara ini.

“Akan ada dalam kalangan kita, pihak-pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian ini untuk tujuan-tujuan tertentu. Saya harap kita tidak akan biarkan diri kita terhasut dengan perkara sebegini,” katanya menerusi rakaman video ucapan Tahun Baharu Cina di akaun media sosial miliknya hari ini.

Dalam pada itu, tambah beliau, rakyat seharusnya mengambil peluang untuk meneruskan tradisi kunjung-mengunjungi bagi mengukuhkan lagi tali persaudaraan.

“Marilah, sama-sama kita berikrar untuk menjaga kestabilan, keharmonian serta keamanan dalam negara yang kita sayangi ini. Di hari yang gembira ini, saya harap kita semua akan teruskan tradisi kunjung-mengunjungi rumah terbuka rakan dan taulan.

“Ambillah peluang ini untuk mengukuhkan lagi tali persaudaraan antara kita sesama kita rakyat Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×