ALOR SETAR – Kedegilan tiga nelayan tempatan yang masih menggunakan pukat haram jenis rawa sorong membawa padah apabila mereka ditahan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah di perairan Yan dekat sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, dua bot bersama tiga nelayan itu ditahan pada jarak 1.4 batu nautika dari muara barat Tanjung Dawai kira-kira pukul 3 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua bot tersebut menggunakan peralatan menangkap ikan yang diharamkan iaitu jenis rawa sorong,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya kemudian menahan sebuah lagi bot nelayan jenis bot kelas A bersama lima nelayan tempatan pada kedudukan 0.5 batu nautika dari Pulau Bunting kira-kira pukul 6.30 pagi hari yang sama.
“Bot tersebut disyaki menjalankan aktiviti menangguk siput menggunakan sangkar besi sedangkan bot itu hanya dibenarkan menjalankan aktiviti pukat hanyut,” ujarnya.
Tambahnya, ketiga-tiga bot berkenaan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
“Dua buah bot rawa sorong bersama peralatan menangkap ikan beserta enjin bot dianggarkan bernilai RM37,000 dan 100 kilogram hasil siput dirampas,” katanya. – K! ONLINE











