KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengesan 159 kes yang disyaki melibatkan pelbagai bentuk penipuan pada tahun lepas kata Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 100 kes telah selesai disiasat dan ditutup, enam kes masih dalam siasatan dan 53 adalah kes baharu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau pernah dipergunakan oleh orang tengah dalam menuntut faedah Perkeso supaya tampil memaklumkan kepada Perkeso agar kegiatan penipuan ini dapat dibanteras dan pelaku jenayah dapat dikenakan tindakan undang-undang.
“Sekali lagi, Perkeso menegaskan bahawa perkhidmatan Perkeso adalah percuma dan tidak perlu menggunakan pihak lain atau orang tengah sebagai perantara bagi mendapatkan sebarang perkhidmatan atau membuat tuntutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru, pihaknya akan bergerak lebih agresif dalam membanteras aktiviti penipuan tuntutan faedah Perkeso dan yakin lebih ramai pihak yang terlibat akan didakwa di mahkamah sepanjang tahun ini. – Bernama











