BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 4 FEBRUARI 2019 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 4 FEBRUARI 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM mana-mana juga organisasi kewujudan ‘musuh dalam selimut’ amat bahaya, apatah lagi jika organisasi itu berkaitan soal keselamatan negara. Justeru Awang menyokong ketegasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Timbalan Menterinya, Datuk Mohd. Azis Jamman yang menegaskan, kementerian itu sedang berusaha menjejaki dan menghapuskan gejala tersebut yang berada dalam agensi penguatkuasaan.

Menurut beliau terdapat sebilangan kecil pegawai dalam agensi penguat kuasa menjadi dalang dengan membocorkan maklumat operasi sehingga membantutkan usaha membanteras kegiatan jenayah.

Tidak kira ramai atau sedikit, apa yang pasti kewujudan ‘musuh dalam selimut’ harus dihapuskan. Mereka inilah yang menjadi pengkhianat termasuklah dalam soal bolosnya sempadan negara kita.

Sememangnya adalah wajar, KDN menggerakkan usaha menjejaki anggota penguat kuasa terlibat. Kelompok ini tidak boleh dibiarkan ada dalam mana-mana agensi penguatkuasaan.

Tindakan mereka bersedia menjamah wang haram dengan menjadi ‘tali barut’ kepada sindiket jenayah adalah satu pengkhianatan kepada rakyat dan negara.

Walaupun Awang tahu gejala ‘musuh dalam selimut’ ini bukan isu baru tetapi ia sama sekali tidak boleh dibiarkan kerana boleh mengancam keselamatan negara. Justeru mereka perlu diburu hingga ke lubang cacing dan dikenakan tindakan setegas-tegasnya.

Awang – Sudah lama tahu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×