Sajak Duri dan Api tiup semangat pemogok - Utusan Malaysia

Sajak Duri dan Api tiup semangat pemogok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAJAK Duri dan Api, karya Sasterawan Negara, Usman Awang yang dicipta khas pada hari pertama pekerja-pekerja Utusan Melayu melancarkan mogok pada 20 Julai 1961 bertujuan membakar semangat pemogok supaya pendirian mereka tidak berganjak daripada mempertahankan ‘Ikrar 1939’ yang menjadi perjuangan asal akhbar tersebut.

Sajak puitis Usman itu menyeru agar kawan-kawan se­perjuangannya yang terlibat dengan Mogok Utusan Melayu 1961 itu tidak berundur walau setapak meskipun berhadapan dengan kuasa yang maha dahsyat iaitu menentang sebuah kerajaan yang simboliknya berupa ‘duri dan api’ yang hendak menikam dan membakar mereka (wartawan). Usman menyeru:

 

Kawan-kawan di kasihi

Di belakang duri, di depan api

Kita tidak bisa undur lagi

Duri dan api, tajam panasnya kita hadapi

Sajak simbolik ini berjaya menghidupkan semangat para pekerja yang berkhemah di luar perkarangan syarikat akhbar itu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur sejak 20 Julai hingga 21 Oktober 1961 untuk bertahan selama 93 hari.

Menurut Zainuddin Maidin dalam buku Di Depan Api, Di Belakang Duri: Sejarah Utusan Melayu (2013) yang turut mengambil sempena sajak tersebut menyatakan, sajak Duri dan Api yang ditulis oleh Usman ‘pa­ling bertenaga’ dan membara sebagai tiupan semboyan yang membakar semangat perjuangan pekerja-pekerja Utusan Me­layu ketika mogok itu berlaku.

Malah sajak Duri dan Api itu turut di­siarkan dalam Buletin Harian pemogok yang diterbitkan untuk menjadi medan pemogok meluahkan perasaan yang diisi dengan pelbagai tulisan seperti rencana-rencana pendek, be­rita pemogok, sajak pembakar semangat dan senarai bantuan dan sumbangan orang ramai yang diterima mereka.

Mogok Utusan Melayu 1961 itu dilancarkan dengan keyaki­nan yang tinggi kerana mereka telah mendapat jaminan sokongan kewangan, bantuan makanan dan lain-lainnya da­ripada pelbagai pihak.

“Menteri Pertanian, Abdul Aziz Ishak yang juga bekas wartawan Utusan Melayu te­lah menghantar bantuan beras manakala parti-parti pembangkang telah melancarkan kutipan derma untuk bantuan. Khemah pemogok juga dikunjungi oleh orang ramai yang bersimpati” (Zainuddin Maidin 2013: 116).

Othman Wok dalam bukunya Never In My Wildest Dreams (2000) menyatakan, pemogok-pemogok juga menjalani ritual khas meminum air Yasin bagi memperteguhkan hati-hati mereka yang sedang berjuang supaya bersatu padu dan tidak bercerai-berai.

“Pemogok-pemogok telah bersumpah untuk bersama-sama sehingga tuntutan mereka dipenuhi dan meminum air Yasin yang dijampi dengan bacaan Yasin beramai-ramai bagi memeterikan perjanjian sesama mereka”.

Pemogok juga tidak pulang ke rumah masing-masing sepanjang mogok tetapi makan dan minum di luar bangunan Utusan Melayu.

Menurut Osman Abadi dalam tulisannya Mogok: Kebebasan Akhbar atau Sengketa Politik? (1989) dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan Me­layu, mogok pekerja-pekerja Utusan Melayu tidak syak lagi merupakan satu pemogokan yang terbesar dan terkuat serta pa­ling menggoncangkan suasana industri persuratkhabaran negara era itu.

Bagi Osman yang juga Timbalan Ketua Pengarang me­rangkap Ketua Pengarang Majalah Kumpulan Utusan era 1980-an, kekuatan mogok itu bukanlah kerana jumlah bila­ngan mereka yang mogok kerana hanya 117 orang pekerja Utusan Melayu yang terlibat, suatu jumlah yang kecil berbanding mogok Kereta api Tanah Me­layu.

“Jadi gema dan gempa mogok Utusan Melayu itu bukan kerana kuantiti tetapi kualiti mereka yang mogok yang terdiri daripada golongan wartawan-wartawan handalan dan sasterawan-sasterawan negara yang ulung.

“Nama-nama seperti Said Zahari, Usman Awang, Abu Zaki Fadzil, Awam il-Sarkam, Salleh Yusof, Tajuddin Kahar, Zailani Sulaiman dan Rosedin Yaakub adalah antara nama-nama wartawan dan saste­rawan yang sehingga sekarang dikagumi orang”. (Osman Abadi 1989: 38)

Sebenarnya, nama wartawan dan sasterawan besar itulah yang telah menggoncangkan peristiwa Mogok Utusan Melayu 1961 sehingga menjadi satu pemogokan yang besar dan menggemparkan negara sekaligus menjadi titik noktah pengambilalihan Utusan Melayu oleh golongan elit yang berkuasa dalam UMNO.

Paling menarik, sajak Duri dan Api karya Usman Awang itu turut di­abadikan pada din­ding ‘Bilik Mesyuarat Songkok’ Jabatan Pengarang Utusan Melayu di Jalan Utusan, Kuala Lumpur sekarang sebagai sumber inspirasi dan menghayati perjuangan dan pengorbanan generasi wartawan terdahulu yang telah me­nyalakan obor ‘suara keramat’ bangsa ini.

USMAN AWANG (TONGKAT WARRANT)   

DURI DAN API

Kawan-kawanku 
yang dikasihi

semalam kita bertemu kembali memadu

ketika matari tersangkut di bumbung Utusan

kita tidak menerima 
apa yang ada

yang dinyanyikan 
dari hati berani

dengan tangan erat pada keyakinan terpahat.

Lagu kita telah 
mulai terpancar

ah, anak-anak manisnya menjenguk keluar

di luar udara basah dalam matari bersinar

semua antara kita lagunya seluruh sedar.

Apakah ini derita diri dalam mimpi

atau kenyataan 
pahit menjepit

pada lena yang membunuh kehidupan manusia

sama-sama kita rangkul menguji diri.

Kawan-kawanku 
yang dikasihi

di belakang duri 
di depan api

kita tidak bisa 
undur lagi

duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah

di mana air mata tidak akan menitik tumpah

sebab kebulatan ikrar tak akan berubah

apa saja kita tidak 
akan menyerah.

(Catatan pertama Pemogokan Utusan Melayu 1961)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×