KEMAMAN 3 Feb. – Kru dua buah kapal yang sedang asyik melakukan proses pemindahan minyak secara haram berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kemaman, kira-kira 3 batu nautika dari Kuala Kemaman semalam.
Dua kapal itu ialah Aliya Sari dan Saujana Tiga dan Maritim Malaysia turut merampas kira-kira
50,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM130,000.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, semasa
kapal ronda Maritim Malaysia membuat rondaan Ops Pagar Laut dan Ops Iman di sekitar perairan
Kemaman pukul 10.10 pagi telah mengesan dua buah kapal yang saling berhimpit dalam keadaan mencurigakan.
Jelasnya, setelah kapal ronda Maritim Malaysia menghampiri dan membuat pemeriksaan ke atas
kapal terbabit mendapati mereka sedang melakukan pemindahan minyak secara `ship to ship’
(STS) tanpa sebarang kebenaran dan dokumen yang sah.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, hasil pemeriksaan mendapati kesemua enam kru kapal Aliya
Sari dan 19 orang kru kapal Saujana Tiga berusia 22 hingga 56 tahun itu memiliki dokumen
pengenalan diri yang sah.
“Kedua-dua kapal tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman, Teluk Kalong untuk
siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang jika sabit kesalahan, pemilik
kapal itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau
kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan menjelang
cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini bagi memastikan perairan Terengganu selamat daripada
aktiviti perlanggaran undang-undang.
Tambahnya, sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh disalurkan ke talian MERS 999 atau
Zon Maritim Kemaman, 09-8582825. – UTUSAN ONLINE











