7 peniaga dikompaun tak pamer tanda harga merah jambu - Utusan Malaysia

7 peniaga dikompaun tak pamer tanda harga merah jambu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Tindakan tujuh peniaga di Pasar Pelabuhan Klang di sini tidak mempamerkan tanda harga warna merah jambu pada barangan harga terkawal sempena musim perayaan Tahun Baru Cina mengundang padah selepas dikompaun pihak berkuasa, semalam. 

Dalam pemeriksaan bermula pukul 9 pagi itu, kesemua peniaga tersebut menggunakan alasan tanda harga merah jambu tersebut bukan satu kewajipan. 

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azman Adam berkata, ini menunjukkan terdapat peniaga yang masih berdegil walaupun penggunaan tanda harga itu diwajibkan terutama dalam musim perayaan. 

“Mereka didapati masih menggunakan tanda harga biasa digunakan iaitu putih kerana beranggapan hanya melibatkan tanda harga sahaja. 

“Penggunaan tanda harga warna merah jambu adalah penting bagi menunjukkan perbezaan antara 13 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga dan barangan lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Beliau menambah, dalam pemeriksaan diketuai Ketua Unit Kawalan Harga KPDNHEP Selangor, Nur Ayuni Basir bersama 12 anggota itu turut mengeluarkan lima kompaun terhadap lima peniaga di sekitar Pasar Borong Meru atas kesalahan menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh penentusahan.

Jelas Azman, mereka juga menggunakan alasan tidak sempat memperbaharui penentusan alat tersebut yang perlu dilakukan setiap tahun.

“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan kepada 12 peniaga terbabit adalah 1,600 dengan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×