1,000 kaki pancing bakal rebut wang tunai RM20,000 - Utusan Malaysia

1,000 kaki pancing bakal rebut wang tunai RM20,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Kira-kira 1,000 kaki pancing bakal berentap merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 sempena Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2019 pada Ahad depan.

Pertandingan bagi siri pertama anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan diadakan di Taman Tasik Metropolitan, Kepong dekat sini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd. Nazam Harun berkata, pihaknya berbesar hati menaikkan hadiah wang tunai itu berbanding RM19,000 pada tahun lepas berikutan sambutan memberangsangkan diterima daripada kaki pancing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara 1,000 kaki pancing yang bakal bergelar juara akan membawa pulang wang tunai RM6,000 manakala RM2,000 untuk naib juara dan tempat ketiga RM1,000.

“Manakala pemenang ke­em­pat hingga ke-10 akan menerima wang tunai RM200, pemenang tempat ke-11 hingga ke-80 menerima RM100 setiap seorang.

“Pihak DBKL turut menyediakan hadiah khas untuk pemenang ikan keli yang mana juara menerima RM300, kedua RM200, ketiga hingga ketujuh, RM100 dan tempat kelapan hingga ke-10, RM50,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di tasik itu antaranya patin dan jelawat yang beratnya antara empat hingga lima kilogram (kg).

Mohd. Nazam berkata, JPKL 2019 akan menanti kaki pancing di 10 lokasi yang dikenal pasti bagi merancakkan lagi pertandingan ini yang bertemakan ‘Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera’.

“Antara lokasi baru yang akan diadakan nanti antaranya di Tasik Perdana Botani dan Tasik Sri Rampai manakala tasik lain yang menanti peminat kaki pancing iaitu di Tasik Ampang Hilir, Tasik Metropolitan Batu dan Tasik Permaisuri,” katanya.

Ujarnya, yuran RM40 bagi sebatang joran dan pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan pada 9 Februari ini bermula antara pukul 1 petang dan 10 malam.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari aplikasi Facebook; jorankl atau menghubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 atau 012-2846811. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×