Mural pertama guna tenaga solar di Jalan Tun Tan Siew Sin - Utusan Malaysia

Mural pertama guna tenaga solar di Jalan Tun Tan Siew Sin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Lukisan mural bercahaya pertama menggunakan tenaga solar pada lampu diod pemancar cahaya (LED) bakal menjadi simbolik dan tarikan ramai pengunjung untuk bergambar kenangan di dinding bangunan di Lot 86, Jalan Tun Tan Siew Sin di sini.

Mural bercahaya itu mendapat sentuhan oleh seorang anak muda tempatan, Mohd. Anuar Mustapa, 35, yang dilukis sejak 18 Disember 2018 dan berjaya disiapkan 13 Januari lalu bertemakan warna-warni lambang masyarakat majmuk.

Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mahadi Che Ngah berkata, lukisan mural pada dinding merupakan projek pengindahan bangunan usang di sekitar ibu negara malah idea penggunaan lampu LED solar pertama telah mencapai objektif pihaknya menjadikan Kuala Lumpur Bandar Bercahaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya difahamkan melalui lukisan yang direka bentuk pada dinding bangunan ini mempunyai ciri-ciri impak pencahayaan pada waktu malam menjadikan ia satu-satunya lukisan mural berlampu LED pertama menggunakan tenaga solar di bandar raya ini.

“Hasilnya apa yang kita dapat lihat pada malam ini, lampu yang menghiasi lukisan mural ini memberikan impak pencahayaan yang ceria di kawasan sekitar,”  katanya.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang untuk bergambar berlatar belakangkan
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang untuk bergambar berlatar belakangkan lukisan mural bercahaya lampu LED solar. – UTUSAN ONLINE/ AMIR KHALID

Mahadi berkata demikian semasa ucapan pelancaran Mural @Lot 86 yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Datuk Mustafa Mohd. Nor; Pengarah Jabatan Bangunan DBKL,  Norizan Sulaiman dan Pengarah Urusan Khiel’s (M) Sdn. Bhd., Yvonne Liew serta selebriti-selebriti tempatan.

Ujar Mahadi, mural bercahaya itu dijangka dapat menarik pemilik-pemilik bangunan yang lain untuk turut sama mengambil langkah mencari idea-idea kreatif dalam memperindahkan dinding bangunan mereka sebagai satu tarikan kepada pengunjung tempatan dan pelancong.

DATUK MAHADI CHE NGAH (tengah) semasa pelancaran Mural @Lot 86
 MAHADI CHE NGAH (tengah) semasa pelancaran Mural @Lot 86 bersama Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Datuk Mustafa Mohd. Nor dan penaja mural iaitu Pengarah Urusan Khiels (M) Sdn. Bhd. (Khiels), Yvonne Liew (kiri). – UTUSAN ONLINE/ AMIR KHALID

Tambahnya, DBKL sangat mengalu-alukan penyertaan pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menyumbang dan berganding bahu dalam usaha mencantikkan bangunan-bangunan usang di bandar raya ini.

Kerjasama Unit Urbanisasi Jabatan Bangunan, DBKL bersama pihak penaja mural, Khiel’s  serta penyelaras program Bumblebee Consultancy dan pemilik bangunan Lot 86 telah berjaya menaik taraf imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang cantik, bersih dan indah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini