BAITULMUQADDIS 30 Jan. – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Rami Hamdallah dan anggota Kabinetnya, semalam.
Al-Jazeera yang memetik agensi berita rasmi Wafa sebagai berkata, langkah diambil oleh Rami itu dilihat ‘menyebelahi’ Mahmoud yang mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai Presiden.
Rami kemudiannya dilantik sebagai Pemangku Perdana Menteri sementara oleh Mahmoud sehingga Kabinet baharu dibentuk.
Menurut penganalisis, tindakan Mahmoud menggantikan Rami selepas lima tahun dilihat sebagai sebahagian usaha beliau untuk mengetepikan lagi pesaing politiknya, pergerakan Hamas, yang mentadbir Semenanjung Gaza.
Semalam, Rami mengumumkan peletakan jawatan Kabinetnya susulan cadangan oleh Jawatankuasa Pusat Fatah untuk membentuk kerajaan baharu daripada pihak Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan figura bebas.
Fatah menjelaskan, tindakan itu dibuat berikutan ‘sifat keras kepala Hamas dan keengganannya untuk bekerjasama dengan kerajaan ke arah pemulihan nasional’.
Namun pegawai Hamas mendakwa, tindakan itu adalah usaha untuk meminggirkan serta mengecualikan pergerakan terbabit daripada politik Palestin.
“Presiden akan memulakan rundingan bagi membentuk sebuah kerajaan politik yang dibentuk oleh PLO bagi mempersiapkan diri untuk mengadakan pilihan raya Parlimen baharu,” ujar Abbas.
Namun masih belum jelas bagaimana perubahan kerajaan kelak akan memberi kesan kepada dasar Palestin. – AGENSI











