LONDON 30 Jan. – Mauricio Pochettino tidak ‘berjanji’ yang dia akan terus kekal bersama Tottenham pada musim hadapan selepas dia yang juga sasaran utama Manchester United berhasrat untuk meneliti semula kontrak semasa.
Pengendali Spurs itu sebelum ini dikaitkan dengan United selain gergasi La Liga, Real Madrid.
Pochettino dipercayai menjadi sandaran utama untuk menggantikan Jose Mourinho di United dan kini Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai pengendali sementara hingga penghujung musim.
Pengendali berusia 46 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun, Mei lalu dan berhasrat untuk memenuhinya tetapi tidak memberi sebarang jaminan dia akan bersama kelab itu pada musim hadapan.
“Saya tidak boleh berjanji mengenai perkara itu.
“Bergantung kepada pengerusi kelab terhadap keputusan ini, ia bukan sekadar keputusan saya.
“Saya sudah perbaharui kontrak selama lima tahun. Saya menghormati kontrak saya tetapi kontrak lima tahun tidak bermakna saya akan kekal di sini selamanya,” katanya.-AGENSI











