MILAN 30 Jan. – Krzysztof Piatek memberitahu, dia baru sahaja ‘memulakan karier’ bersama AC Milan selepas meledak dua gol dalam penampilan pertamanya sekali gus membantu skuad kendalian Gennaro Gattuso mara ke aksi separuh akhir Coppa Italia dengan menundukkan Napoli 2-0.
Piatek yang menyertai Milan dari Genoa minggu lepas bagi menggantikan Gonzalo Higuain meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit ke-11 sebelum meledak gol kedua selepas setengah jam perlawanan berlangsung.
Kejayaan itu merupakan kali kedua Milan meranapkan impian Napoli untuk menjulang trofi musim in dan selepas terikat tanpa jaringan, Sabtu lalu di San Siro, skuad kendalian Carlo Ancelotti kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu Serie A, Juventus.
“Saya sememangnya menjangkakan malam yang hebat seperti ini. Saya sudah bersedia untuk malam ini dan saya menjaringkan dua gol tetapi ini hanya permulaan.
“Kedua-dua gol ini sangat hebat, walaupun berbeza. Saya berasa sangat hebat malam ini dan suasana sangat luar biasa di San Siro,” kata Piatek.
Milan yang juga juara lima kali akan berdepan sama ada Inter Milan atau Lazio yang akan bertemu, esok.-AFP









