KUALA LUMPUR 30 Jan. – Pahang tampak ‘low profile’ berbanding pencabar utama Liga Super yang lain, namun hakikatnya skuad Tok Gajah kali ini sebenarnya lebih mantap berbanding musim lalu.
Skuad bimbingan Dollah Salleh itu akan memulakan kempen musim baharu dengan bertandang ke Kuala Lumpur pada Jumaat ini.
“Kita memiliki kekuatan lebih mantap, untuk menyaingi pasukan lain pada musim 2019, cuma persiapan sedikit terganggu kerana dua pemain import iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria dan Jose Eduardo atau Ze Love dari Brazil lambat sampai ke sini.
“Justeru, kecergasan kedua-dua pemain belum mencapai tahap sebenar tapi kita percaya ia akan diperolehi sedikit masa lagi,” katanya baru-baru ini.
Dollah berkata, barisan pasukan yang dibentuk kali ini juga memberinya banyak pilihan untuk menurunkan pemain terbaik dalam kesebelasan utama.
“Saya amat berpuas hati dengan pemain tempatan sama ada pemain muda mahupun senior. Pemain muda kita setakat ini mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk menyaingi pemain senior.
“Jika ada yang tidak dapat bermain baik, saya boleh tukar dengan pemain yang lebih menyerlah…ini memberi kelebihan kepada saya dalam mengatur strategi,” katanya lagi.
Tiada pemain tempatan musim lalu yang digugurkan oleh Dollah manakala bagi kuota import, selain Dickson dan Eduardo, tiga lagi pemain yang mengisi slot ialah Saddil Ramdani dari Indonesia, Herold Goulun (Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura).
Pahang juga menerima berita gembira memasuki musim baharu apabila bintang tengah kebangsaan, Mohamadou Sumareh didaftar sebagai pemain tempatan.
Musim lalu, Pahang muncul juara Piala
FA, menghuni tangga keempat Liga Super dan mara ke suku akhir Piala Malaysia. – UTUSAN ONLINE











