KOTA BHARU 30 Jan. – Sambutan Hari Murabbi Ummah 2019 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 pengunjung termasuk dari luar negeri Kelantan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Murabbi Ummah 2019, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penganjuran program dari 14 hingga 16 Februari ini adalah selari dengan dasar kerajaan negeri iaitu ‘Merakyatkan Membangun Bersama Islam menuju Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan’ yang memberi fokus kepada ilmu dan dakwah.
Beliau berkata, sebanyak 300 sukarelawan akan bertugas bagi memastikan kelancaran sepanjang tiga hari program julung kali itu berlangsung.
“Kita mahu semarakkan program ilmu dan dakwah serta pembinaan sahsiah dalam masyarakat.
“Walaupun teras program adalah siri ceramah dan kuliah kita yakin rakyat Kelantan yang cintakan ilmu akan hadir memeriahkan program ini yang juga merupakan program Kerajaan Negeri paling besar selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14),”katanya selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Hari Murabbi Ummah 2019, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Besar, Mohd Asri Mat Daud dan Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan negeri, Nasruddin Mahmud Muhaidin.
Che Abdullah berkata, sempena program itu juga, pendakwah terkenal dari Sumatera, Indonesia iaitu Ustaz Abdul Somad Batubara akan dinobat kerajaan Pas Kelantan sebagai Ikon Dakwah Nusantara yang dijadualkan berceramah pada malam kemuncak Bicara Agung Malam Murabbi Ummah pada 15 Februari.
Jelasnya lagi, antara penceramah lain yang akan mengambil bahagian adalah pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus, Datuk Dr Norhafizah Musa dan Shadiya Abbas.
Selain itu, katanya, aktiviti lain yang diadakan adalah pameran serta program kebudayaan dan sukan seperti ‘Rentap Dikir All Star’; Anak Muda Berselawat; ‘Fantastic 3’; Cabaran Sepakan Penalti dan ‘E-Sport Challenge’. – UTUSAN ONLINE











